RencanaGaya Hidup

Kejayaan Norhayati genggam ijazah pada usia 65 tahun cetus inspirasi buat anak cucu

DI SEBALIK kejayaan seseorang insan, pasti terdapat kisah ketabahan yang menginspirasikan.

Itu yang boleh diperkatakan apabila melihat pencapaian seorang wanita, Norhayati Sidikah Abu Bakar yang berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dengan Kepujian dari Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Pada usia 65 tahun, ketika kebanyakan orang memilih untuk berehat setelah mengharungi kehidupan yang memenatkan, Norhayati yang merupakan ibu kepada tujuh orang cahaya mata terus bersemangat menggapai impian yang tertangguh satu ketika dahulu.

Norhayati bersama suaminya, Muhammad yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan yang dikecapi.

Ya, pada usia mudanya, beliau pernah mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan. Namun, disebabkan kekangan kewangan keluarga, beliau terpaksa berhenti belajar dan bekerja di sebuah institusi kewangan di Kuala Lumpur.

Selepas berkahwin, Norhayati mengikut suami yang menyambung pengajian ke United Kingdom.

Sebagai isteri, beliau setia menemani suami tercinta serta menjadi tiang kekuatan buat keluarga hingga suaminya menamatkan pengajian.

Justeru, tidak hairanlah pada Upacara Konvokesyen Ke-62, Sidang 13 di Dewan Tuanku Syed Putra, USM pada 25 November lalu, seluruh ahli keluarganya termasuk suami, anak menantu dan cucu-cucunya hadir meraikan hari bahagia wanita tersebut.

Menurut Norhayati, pengalaman melihat anaknya yang bernama Zaid Muhammad naik ke pentas pada hari graduasinya enam tahun lalu telah menyemarakkan kembali impiannya untuk menyambung pelajaran.

“Alhamdulillah, suami yang sentiasa melihat kesungguhan saya akhirnya telah memberi restu. Maka dari situlah bermulanya kejayaan ini. Walaupun ada juga kata-kata yang tidak menyenangkan kedengaran, namun saya abaikan semuanya.

Semua ahli keluarga Norhayati hadir meraikan kejayaan beliau meraih Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dengan Kepujian.

“Niat saya belajar untuk mendapat ilmu yang khusus kerana hanya dengan ilmu, minda dapat melihat dunia dengan perspektif berbeza.

“Malah, saya sering tekankan bahawa saya bersaing dengan diri sendiri, bukan dengan orang lain kerana manusia sering kalah dengan pemikiran yang membelengguh langkahnya.

“Seperti kata pepatah, seribu langkah bermula dengan langkah pertama. Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” kata Norhayati kepada Malaysia Tribune.

Tambah Norhayati lagi, selepas lebih 40 tahun meninggalkan dunia pendidikan formal, sudah pasti banyak cabaran yang dihadapi. Bagaimanapun dia tidak pernah berputus asa untuk mengejar impiannya.

“Sambil menjaga ibu mentua yang terlantar sakit, saya terus berusaha mengulang kaji dan meneroka banyak ilmu baru.

“Bahkan saya turut membawa nota-nota pelajaran apabila suami dimasukkan ke hospital bagi menjalani prosedur rawatan jantungnya. Semua itu adalah kekuatan daripada Allah,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut Norhayati, bagi golongan warga emas yang ingin belajar perlu ada sokongan moral dan bantuan digital daripada anak-anak muda.

“Ini kerana banyak peranti dan perisian perlu digunakan untuk memudahkan pembelajaran. Saya beruntung kerana dibantu oleh teman sekuliah yang lebih muda dan diibarat seperti anak-anak,” kata beliau.

Sementara itu, bagi Muhammad Abd. Razak pula, beliau kagum melihat semangat isterinya untuk terus menuntut ilmu meskipun dikelilingi tanggungjawab terhadap keluarga, kerjaya, kerja-kerja sosial dan juga dakwah.

“Beliau sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan ilmu dengan menghadiri seminar, kursus dan membaca bahan-bahan yang memperkayakan dirinya.

Momen ketika Norhayati bersama suaminya menghantar tesis yang telah disiapkan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM, Pulau Pinang.

“Selama lima tahun, beliau menunjukkan komitmen luar biasa dengan menghadiri kelas secara online dan juga di kampus, menyiapkan tugasan bahkan menyiapkan tesis dengan jayanya di samping terus memberi khidmat tenaga kepada komuniti masjid, sebagai Ahli Lembaga Koperasi masjid, Ahli Lembaga Tadbir Sekolah KAFA dan juga penglibatan dengan masyarakat setempat.

“Kejayaan ini bukan sekadar milik isteri tetapi hakikatnya ia inspirasi buat kami semua. Terima kasih kerana menjadi contoh terbaik bahawa pembelajaran itu tidak mengenal usia dan pendidikan adalah untuk semua,” kata Muhammad yang turut menukilkan penghargaannya buat Norhayati di laman Facebook beliau.

Bagi anak sulung pasangan tersebut, Ruqayyah, umminya disifatkan sebagai seorang wanita yang sangat rajin.

“Sepanjang pengajiannya, ummi sangat rajin mencari bahan rujukan di Perpustakaan Hamzah Sendut. Ummi juga tidak malu untuk bertanya pada pensyarah yang jauh lebih muda daripadanya.

Kejayaan Norhayati menggenggam ijazah pada usia 65 tahun menjadi inspirasi buat anak cucunya.

“Malah ummi sangat menyantuni mereka biarpun usianya lebih tua. Kami anak-anak nampak dan ambil teladan bagaimana adab dan akhlak ummi dalam berguru.

“Selain itu, dalam kesibukan belajar, ummi tidak pernah meninggalkan aktiviti kemasyarakatan yang sudah menjadi darah dagingnya. Lepas satu, satu projek dan aktiviti yang ummi sertai.

“Sampai kadang-kadang kami yang penat melihat jadualnya yang sentiasa penuh. Tapi ummi bila buat sesuatu, memang akan dilakukan sehabis baik. Tidak ada istilah separuh jalan. Masya-Allah, pencapaian ummi ini membuatkan kami semua berbangga dengannya.

“Ummi adalah sumber inspirasi anak menantu dan juga cucu-cucu,” kongsi Ruqayyah yang merupakan pegawai dietitian di Hospital Universiti Sains Malaysia cawangan Kubang Kerian.

Subhanallah. Sungguh, kisah Norhayati ini bukan sekadar kejayaan akademik, tetapi juga bukti bahawa pembelajaran sepanjang hayat dan semangat juang yang tidak mengenal usia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button