Empat laluan di Alor Setar ditutup akibat banjir
ALOR SETAR – Empat laluan utama di daerah ini ditutup sepenuhnya, manakala dua lagi laluan ditutup secara separa akibat banjir yang melanda bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, berkata antara laluan yang terjejas ialah Jalan Lengkuas/Kampung Derang/Batu 11 Jalan Pokok Sena, yang ditutup dari Kilometer (KM) 9.80 hingga KM 11.50.
“Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Langgar/Sungai Mati/Bukit Pinang – Kepala Batas dan Hutan Kampung ke Langgar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Jalan Gunung Keriang berhampiran tapak projek terusan banjir juga ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.
Sebagai laluan alternatif, pengguna boleh melalui Jalan Sungai Baru dari Kubang Pasu ke Kuala Sungai dan Jalan Suka Menanti.
Sementara itu, Jalan Bukit Pinang – Lengkuas hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat, dan pengguna disarankan menggunakan laluan Jalan Pinang Jaya – Telaga Mas.
“Terowong Bukit Pinang juga ditutup sepenuhnya, dengan laluan alternatif disediakan melalui Jalan Kepala Batas – Bukit Tinggi – Bukit Pinang,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan dua laluan ditutup secara separa. Jalan Kepala Batas – Hutan Kampung hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat, manakala pengguna disarankan menggunakan Lebuhraya Tol Alor Setar Utara ke susur keluar Bukit Pinang.
“Lebuhraya Darul Aman dari arah Alor Setar berhampiran pusat futsal hanya boleh digunakan oleh kenderaan berat, manakala pengguna lain boleh melalui lorong sebelah yang menghala ke Alor Setar,” tambahnya.
Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan dan menggunakan laluan alternatif yang disediakan untuk keselamatan.