Berita SemasaDalam Negeri

Banjir luar jangka, Kerajaan Pusat tambah RM25 juta untuk Terengganu, Kelantan

SETIU – Kerajaan Persekutuan setuju untuk menyalurkan peruntukan tambahan keseluruhan RM50 juta buat Terengganu dan Kelantan yang kini sedang terjejas teruk dengan banjir gelombang pertama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan segera masing-masing RM25 juta buat kedua-dua negeri itu ekoran peningkatan mangsa terjejas sudah melebihi jangkaan diunjurkan sebelum ini.

Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM50 masing-masing kepada Terengganu dan Kelantan bagi pengurusan bencana banjir pada musim tengkujuh.

“Bantuan penuh untuk Kelantan dan Terengganu RM50 juta telah disalurkan, kemudian saya dapat maklumat lagi terdapat keperluan-keperluan mutakhir.

“Kita sudah lulus tambah kerana kita nampak keperluan (mangsa) terkesan itu jauh lebih jangkaan awal. Kita tambah lagi RM25 juta, ” katanya selepas meninjau situasi banjir di daerah ini hari ini.

Beliau menyantuni mangsa-mangsa banjir yang sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan dan SK Mangkok di sini.

Anwar berkata, kerajaan Persekutuan juga sedang memantau keperluan peruntukan tambahan di negeri-negeri lain yang turut terjejas banjir pada masa ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan segera yang akan disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri tersebut akan digunakan untuk pengurusan banjir termasuk membaiki infrastruktur asas seperti jalan raya dan pembentung.

Sementara itu, Anwar memaklumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM500 kepada setiap Penjawat Awam Negeri Terengganu.

Katanya, ia melibatkan seramai lebih 14,000 penjawat awam negeri dengan peruntukan keseluruhan akan disalurkan kepada kerajaan negeri berjumlah RM7.4 juta.

Terdahulu, Anwar tiba di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Telaga Papan, Setiu untuk menyantuni 269 penduduk terjejas di PPS berkenaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, tiada keperluan untuk pengisytiharan darurat bagi situasi banjir luar biasa kali ini, memandangkan semua agensi penyelamat masih mampu menangani situasi itu dengan baik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button