Berita Semasa

Alexander Nanta tinjau projek jalan raya Kampung Jeneris-Kuala Telemong 

KUALA TERENGGANU – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan kepentingan Projek Pembinaan Jalan Raya Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Berang (Pakej 8) bagi memastikan akses penduduk tidak terputus, terutama ketika musim banjir.

Menurut beliau, projek bernilai lebih RM160 juta itu sedang giat dilaksanakan dan melibatkan pembinaan jalan dua lorong sepanjang 15.75 kilometer dengan sistem perparitan serta tiga jambatan baharu, termasuk sebuah jambatan kecil untuk penduduk setempat.

“Projek ini dijangka siap pada 23 Oktober 2026 dan akan menghubungkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Ia penting untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya ketika musim tengkujuh,” katanya selepas meninjau tapak projek pagi ini.

Beliau berkata, hujan berterusan yang melanda kawasan tadahan hujan itu menyebabkan kerja rawatan tanah terganggu kerana aras air yang tinggi.

Tambahnya, tinjauan pagi ini turut menyaksikan banjir menenggelami sebahagian tapak projek.

“Kejadian itu menekankan kritikalnya pembinaan jalan dan jambatan ini untuk disiapkan mengikut jadual bagi mengelakkan hubungan jalan raya terputus pada masa hadapan,” ujarnya.

Mengulas laporan terkini Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) JKR, beliau menyatakan sebanyak 294 lokasi di seluruh negara dilaporkan terjejas akibat musim hujan.

Terengganu mencatat jumlah tertinggi dengan 132 lokasi terlibat, diikuti Kelantan (94), Kedah (80), Negeri Sembilan (4), Selangor (3) dan Perak (1).

Kes bencana yang direkodkan melibatkan banjir (244), banjir kilat (27), cerun runtuh (11), jalan runtuh (8) dan jalan mendap (4).

“Saya menyeru semua pihak agar berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk keselamatan bersama,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button