KSRF perkukuh peranan Felda sebagai institusi penting luar bandar
KOTA TINGGI – Kelab Sukan dan Rekreasi Felda (KSRF) Wilayah Johor Bahru terus memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan warga Felda melalui penganjuran Mesyuarat Agung kali ke-30 yang berlangsung di Felda Bukit Aping Barat, di sini, semalam.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memuji usaha KSRF dalam memperkukuhkan nilai kebersamaan dan semangat kekitaan dalam kalangan ahli.
“KSRF bukan sahaja memenuhi minat dalam bidang sukan malah ia menjadi platform untuk membangunkan semangat kerjasama dalam mengukuhkan institusi Felda.
“Dengan asas dan nilai yang ditekankan kerajaan, saya yakin program ini mampu mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan Felda sebagai institusi ekonomi penting yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat luar bandar.
“Felda adalah instrumen yang sangat penting dalam membangunkan kehidupan masyarakat luar bandar. Ia tidak boleh gagal dan kita semua perlu memastikan ia terus ditadbir dengan baik demi masa depan warganya,” tegasnya.
Khaled turut mengambil peluang untuk melihat kemajuan yang telah dicapai oleh persatuan itu dan memahami tanggungjawab besar yang dipikul oleh warga Felda.
“Saya mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua kepimpinan dan ahli KSRF Wilayah Johor Bahru atas usaha yang telah dilakukan. Diharapkan ia dapat diteruskan untuk manfaat bersama,” katanya lagi.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan kepimpinan Felda dan wakil penduduk tempatan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune