WSSA 2024: Hannah Yeoh bangga pasukan negara catat rekod terbaik
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melahirkan rasa bangga terhadap pasukan negara yang mendapat pengiktirafan di peringkat dunia dengan kedudukan serta rekod terbaik dalam Kejohanan Terbuka Asia World Sport Stacking Championships (WSSA) 2024.
Sukan stacking adalah sukan yang melibatkan penyusunan gelas mengikut bentuk piramid dengan sepantas yang mungkin, dengan gelas-gelas tersebut direka khas untuk membolehkan ianya disusun dalam masa yang pantas.
Hannah berkata, Kejohanan Terbuka Asia WSSA 2024 adalah acara utama untuk sukan stacking di Malaysia, dan pada tahun ini, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada 487 peserta dari 11 negara.
“Saya berbangga kerana Pasukan Malaysia merupakan salah satu pasukan berprestasi tinggi yang mendapat pengiktirafan di peringkat dunia dengan kedudukan serta rekod terbaik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau.
Mengulas lanjut, Hannah Yeoh berkata, sukan stacking adalah sukan kompetitif unik yang telah diiktiraf sebagai sukan rasmi pada tahun lalu, sekali gus menjadi salah satu daripada 103 sukan yang diwartakan.
“Dengan pengiktirafan ini, peserta sukan stacking boleh memanfaatkan potongan cukai sebanyak RM1,000 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024. Potongan ini meliputi penyertaan dalam kejohanan, pembelian peralatan, serta latihan.
“Pengiktirafan ini dijangka memberi semangat kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyertai dan memajukan sukan ini di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya lagi.