Berita Semasa

Situasi banjir: MCMC laksana langkah proaktif tangani masalah liputan telekomunikasi

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melaksanakan langkah proaktif bagi menangani masalah liputan telekomunikasi di kawasan banjir.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini termasuk menyelaras kerja-kerja baik pulih infrastruktur komunikasi bagi memastikan saluran terhubung tidak terputus sewaktu situasi bencana.

“Sehingga 10.00 pagi tadi, sebanyak 124 stesen pemancar komunikasi masih terjejas akibat banjir (di seluruh negara).

“(Pada masa yang sama) 47 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) (juga) tidak dapat beroperasi disebabkan kerosakan fasiliti,” katanya, hari ini.

Fahmi berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Penutup Karnival Komunikasi 2024, di sini hari ini.

Hadir sama, Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran; dan Ketua Pegawai Eksekutif TM, Amar Huzaimi Md Deris.

Sementara itu, MCMC dalam satu kenyataan turut memaklumkan, bagi memastikan liputan Internet di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berada pada tahap terbaik, sesi ujian liputan turut dilaksanakan bagi mengenal pasti lokasi yang mengalami maslaah liputan dan mengambil tindakan susulan.

“MCMC juga menyelaras informasi dengan pihak jawatankuasa bencana daerah dan negeri mengenai kawasan yang berisiko tinggi dilanda banjir.

“Ini bagi memastikan keselamatan pihak penyedia perkhidmatan semasa mereka melaksanakan penyelenggaraan di kawasan banjir,” kata MCMC dalam kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut turut berkata, maklumat amaran awal banjir turut disalurkan kepada pengguna dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pengendali perkhidmatan (MNO) melalui pelbagai cara seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), bagi membantu orang ramai mengemas kini maklumat banjir di seluruh negara.

Setakat pukul 9.30 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di sembilan negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Selangor, Perlis, Melaka, Johor dan Perak terus meningkat kepada 123,679 orang daripada 37,219 keluarga.

Kesemua mereka kini ditempatkan di 706 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.

Show More

Related Articles

Back to top button