Pindaan Akta 588 dibentang di Parlimen Isnin ini – Fahmi
KUALA LUMPUR – Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) akan dibentangkan di Parlimen, Isnin ini.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, cadangan pindaan itu meliputi penambahbaikan kepada skop penggunaan Seksyen 233, berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Pindaan tersebut, katanya, akan turut menyentuh aspek media sosial, pembangunan industri dan keselamatan rangkaian.
Untuk rekod, pindaan ini merupakan kali pertama dilaksanakan sejak Akta 588 dikuatkuasakan 26 tahun lalu.
Tambah Fahmi, penyedia platform media sosial juga akan diberikan taklimat supaya mereka memahami usaha dan niat kerajaan serta cakna mengenai pindaan itu.
“Kita juga akan bawa nanti Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian, malah sudah pinda takrif Mule Account (Keldai Akaun), disusuli pindaan Kanun Keseksaan, serta beri takrifan kepada buli siber termasuk jenayah seperti doxing dan satu lagi kod tatalaku yang dalam draf akhir.
“Semua usaha dan inisiatif ini untuk memastikan internet lebih selamat, terutama untuk kanak-kanak dan keluarga. Tumpuan kita kepada aspek kemudaratan dalam talian, judi dalam talian dan scam, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak atau pedofilia,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Komunikasi 2024 di Pantai Dalam, di sini hari ini.