Berita Semasa

KKR uji keberkesanan teknologi NoFloods

Inisiatif kementerian mencari jalan mengurangkan impak banjir terhadap perhubungan, kerosakan jalan raya dan gerakan bantuan mangsa banjir

BESUT – Penggunaan teknologi tebatan banjir NoFloods didapati berjaya menghalang banjir daripada memutuskan jajaran jalan raya di mana ia dipasang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, alat tersebut yang kini sedang melalui ujian Proof of Concept (POC) dipasang di sepanjang 200 meter di Seksyen 6.30, Jalan Seberang Jerteh (FT189) di sempadan negeri Kelantan – Terengganu.

“Teknologi NoFloods ini telah berjaya menghalang air daripada merentasi jalan yang boleh menyebabkan banjir berlaku dan memutuskan perhubungan jajaran jalan raya tersebut.

“Catatan ketinggian paras air yang direkod adalah setinggi 0.9 meter dari aras tanah dan alat ini mampu menampung sehingga 1.2 meter ketinggian aras air banjir,” kata Alexander dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama pasukan dari kementeriannya hadir di kawasan ujian teknologi tersebut, bagi melihat sendiri keberkesanannya.

Beliau turut memberitahu, ujian ini dilaksanakan bermula 1 Oktober lalu hingga 31 Mac tahun hadapan, dan selaras dengan musim tengkujuh di Terengganu.

Alexander kemudiannya berkata, ujian terhadap teknologi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif mitigasi kementerian dalam mencari jalan mengurangkan impak banjir terhadap perhubungan, kerosakan jalan raya dan gerakan bantuan mangsa banjir.

Selain tinjauan ke lokasi ujian, Alexander turut meninjau lokasi cadangan kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di Daerah Dungun, Terengganu yang dicadangkan dilaksanakan pada tahun 2025.

Tiga lokasi yang menjadi keutamaan kerja penyenggaraan jalan tersebut ialah Jalan Kuala Terengganu – Kuantan (FT003) di Seksyen 463-465, Jalan Bukit Besi – Dungun (FT132) di Seksyen 8-10 dan Jalan Jerangau – Jabor (FT14) di Seksyen 117-118.

“Bagi tahun 2025, KKR telah mengenal pasti dan memohon 228 bilangan kerja penyenggaraan berkala pavemen bernilai RM301.77 juta dan 197 bilangan kerja berkala bukan pavemen bernilai RM46.9 juta bagi Jalan Persekutuan di Negeri Terengganu.

“Fokus berterusan ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Perpaduan selari dengan aspirasi Program MYJalan dan nilai teras Malaysia MADANI dalam memastikan keterhubungan, aksesibiliti dan mobiliti rakyat sentiasa berkualiti, selamat dan selesa digunakan,” kata Alexander lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button