Kes bunuh juruwang, polis tahan tujuh individu
CHERAS – Polis menahan tujuh individu bagi membantu siasatan insiden seorang juruwang maut akibat ditikam di sebuah pusat beli belah, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, kesemua suspek ditahan merupakan rakan sekerja mangsa.
“Buat masa ini kita menahan tujuh suspek yang terdiri daripada rakan sekerja mangsa untuk siasatan.
“Kita juga masih menyiasat motif pembunuhan selain mengesan saksi-saksi yang dapat membantu siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kejadian yang menimpa wanita warga China berusia 49 tahun itu dipercayai berlaku antara pukul 3 hingga 4 petang semalam.
“Mangsa yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dipercayai ditikam beberapa kali pada bahagian badan dengan pisau.
“Pemeriksaan awal menemukan antara empat hingga lima kesan tikaman pada tubuhnya,” katanya.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di tempat kejadian tidak menemui senjata tajam yang digunakan untuk menikam mangsa.
Tambah Aidil, jasad mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.