Isu papan tanda pelbagai bahasa tidak perlu diperbesarkan- Menteri Perpaduan
KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk memperbesarkan isu penguatkuasaan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Bercakap kepada pemberita selepas Persidangan Keamanan Antara Agama Antarabangsa (IIPC) di Kuala Lumpur hari ini, Aaron menjawab pertanyaan dengan memetik Menteri Kabinet lain.
“Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sudah menjawab perkara itu. Saya juga merasakan ia bukan perkara yang perlu diperbesarkan,” katanya.
Minggu lalu, DBKL melancarkan operasi berskala besar yang menyasarkan papan tanda tidak memaparkan bahasa Melayu, di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.
King Sing, dilaporkan berkata, penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
King Sing juga dipetik mendakwa, tindakan DBKL itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
Selain itu, King Sing turut mengharapkan agar pihak DBKL agar berkomunikasi dengan lebih baik terhadap peniaga yang terlibat bagi mengelakkan berlakunya perbalahan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap papan tanda premis perniagaan yang tidak menepati undang-undang dibuat bukan atas desakan mana-mana pihak atau individu tetapi atas dasar memastikan peraturan yang berkuat kuasa dipatuhi
Jelas beliau, DBKL melalui Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976 menetapkan penggunaan bahasa kebangsaan perlu diutamakan pada papan tanda premis.