Berita SemasaBisnes & Ekonomi

ASF 2024: Memupuk minat generasi muda dalam pertanian pintar

SERDANG – Pameran dan Persidangan Antarabangsa Asia Smart Farming & Food Security 2024 (ASF 2024) yang berlangsung selama tiga hari baru-baru ini membuka lembaran baharu dengan memperkenalkan pertanian pintar sebagai kerjaya masa depan yang berpotensi tinggi.

Bertemakan ‘Pesticide-Free Farming for a Healthier Nation’, ASF 2024 menekankan matlamat untuk memastikan pertanian di Malaysia bergerak ke arah amalan bebas racun kimia, lebih lestari dan selamat untuk generasi akan datang.

Acara ini yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu merupakan bukti komitmen penganjur dalam transformasi sektor pertanian melibatkan teknologi moden dan inovasi hijau.

Pengerusi Penganjur dan Ketua Pegawai Eksekutif ABS Greentech Sdn Bhd, R.M. Ravichandar berkata, dalam era yang semakin dipacu teknologi, ASF 2024 mengetengahkan pelbagai penyelesaian pintar bagi menarik minat generasi muda sekaligus menangkis persepsi bahawa pertanian adalah bidang yang sukar, tradisional dan tidak menguntungkan.

Hal itu katanya semakin merungsingkan apabila ramai petani di negara ini terdiri daripada golongan berusia sekaligus menjejaskan kelangsungan sektor itu pada masa akan datang.

“Dengan teknologi pertanian pintar, golongan muda dapat melihat bahawa sektor ini bukan sekadar pekerjaan berat di ladang, tetapi juga satu platform penuh inovasi dan potensi,” katanya.

R.M. Ravichandar

Beliau berkata pada majlis penutupan ASF 2020 yang dianjurkan ABS Greentech Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), UPM, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan disokong oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia Dewan Banquet UPM, Khamis lalu.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, yang diwakili timbalannya, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Ravichandar berkata, bagi memastikan minat generasi muda dalam sektor itu diterjemah kepada tindakan, pihaknya turut merancang untuk menubuhkan pusat latihan di seluruh Malaysia.

“Program ini akan memberi tumpuan kepada pendidikan berasaskan teknologi, seperti penggunaan dron, analisis data tanaman, dan sistem pengurusan pintar.

“Masa depan sektor itu bergantung kepada sejauh mana golongan muda melihat pertanian sebagai bidang yang progresif,” jelasnya.

Beliau turut memberi contoh bagaimana petani kecil di Belanda dengan menggunakan tanah berskala kecil sekitar 3 hingga 5 ekar, mampu menghasilkan hasil tanaman yang tinggi melalui penggunaan teknologi pintar.

“Kami yakin amalan ini boleh diterapkan di Malaysia, sekali gus membuka peluang besar kepada anak muda untuk berkecimpung dalam sektor ini,” tambahnya.

Dr Abdul Rahman Ismail

Sementara itu, Dr Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, penganjuran pameran dan persidangan itu akan diperluas ke Sarawak sebagai acara serantau sekaligsu memanfaatkan kedudukan negeri itu sebagai peneraju teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

“Saya yakin kita mampu menjadikan Malaysia sebuah negara bebas racun kimia dan selamat pada masa depan.

“Misi ini selari dengan kempen ‘Safe to Eat Food Products’ yang baru dilancarkan oleh Sarawak dan prinsip kerajaan negeri untuk mengharamkan penggunaan racun kimia tidak lama lagi,” katanya.

Pada ASF 2024, beberapa Memorandum Persefahaman ditandatangani melibatkan ABS Greentech Sdn Bhd dan IFFCO-Nanoventions Private Limited; Western Power China, Innofriends; Greentech Sdn Bhd dan AND Biological B.V. (Belanda).

ASF 2024 menyaksikan penglibatan syarikat-syarikat gergasi dunia dan tempatan berkongsi teknologi dalam bidang pertanian antaranya Western Power (China), INOFRIENDS (Korea Selatan), IFFCO Nanoventions Private Limited (India), UPL Global (India), AND Biologicals (Belanda), Lentiz Education Group (Belanda) dan Tropical Agrosystem (India) Pvt Ltd.

Syarikat Malaysia yang menyertai adalah Adastra IP (M) Sdn. Bhd., ARISE Consulting, ViTrox Agritech, Vigor Agribiotech Solutions, Picasynergy Holdings (M) Sdn Bhd, Pesticide Action Network Asia Pacific (PANAP), Global Psytech, Ken Microbes dan Aerodyne Group (Malaysia).

Show More

Related Articles

Back to top button