Berita Semasa

Wanita cari penunggang motosikal bantu tukar tayar kereta

NILAI – Seorang pemandu wanita menyatakan hasrat untuk menghubungi semula seorang penunggang motosikal yang membantunya menukar tayar kereta yang pecah di Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara) berhampiran Nilai pagi semalam.

Zukarziah Md Diah, 50, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.45 pagi ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Majlis Bandaraya Seremban (Cawangan Nilai).

Katanya, ketika memandu pada kelajuan kira-kira 110 kilometer sejam, dia terdengar bunyi seolah-olah keretanya telah melanggar sesuatu.

Zukarziah mahu menghubungi pemuda berhati mulia yang telah membantunya.

“Panik dengan kejadian itu, saya telah memperlahankan kereta dan bertukar ke lorong paling kiri tetapi masih meneruskan pemanduan tanpa menyedari apa yang sebenarnya berlaku.

“Kemudian seorang penunggang motosikal telah menghampiri kereta saya dan memberikan isyarat supaya berhenti dengan menunjukkan jari ke arah tayar depan kereta,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Related Articles

Zukarziah berkata, selepas memberhentikan keretanya dia mendapati salah satu tayar depan telah pecah dan dia bernasib baik kerana lelaki berkenaan telah menawarkan diri untuk membantu menukar tayar keretanya.

Katanya, dalam keadaan panik berdepan situasi itu, dia terlupa untuk mendapatkan nombor telefon lelaki yang membantunya itu.

Pemuda ini menolak apabila mahu diberi upah, sebaliknya meminta Zukarziah mendoakan agar anaknya berjaya menjadi hafiz Quran.

“Tujuan saya untuk menghubunginya semula adalah untuk mengucapkan terima kasih kerana betul-betul terhutang budi.

“Saya ada menyatakan hasrat untuk memberikan dia sedikit ‘upah’ tetapi ditolak.

“Sebaliknya dia hanya meminta saya mendoakan anaknya supaya berjaya bergelar hafiz Al-Quran ,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Zukarziah berkata, dia berharap sesiapa yang mengenali lelaki yang tinggal di Ara Sendayan, Negeri Sembilan dan bekerja di Puchong, Selangor itu dapat menghubunginya di talian 012-324 8691.

Show More

Related Articles

Back to top button