Berita Semasa

‘Nilai semula pendekatan pembangunan negara’ – Sultan Nazrin

PUTRAJAYA – Soal pembangunan negara tidak boleh lagi diambil mudah ketika dunia kini berada pada era kritikal yang mana ketentuan politik, ekonomi dan alam sekitar semakin menguji kemampuan kita untuk mencapai kemajuan yang diimpikan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, dunia memerlukan pendekatan pembangunan baharu yang lebih berani dan inovatif dalam menangani kemelut yang semakin rumit itu.

“Apabila kita meneliti keadaan dunia hari ini, satu perkara jelas kelihatan: kemajuan tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti. Era kita sekarang dicirikan oleh ketidaktentuan politik, ekonomi dan alam sekitar yang kritikal, dengan ketegangan geopolitik di beberapa kawasan meletus menjadi perang terbuka.

Sultan Nazrin bertitah supaya pendekatan pembangunan negara tidak lagi diambil mudah pada era penuh ketidaktentuan ini.

“Kes kelaparan semakin meningkat dengan kadar kekurangan zat makanan mencapai tahap yang tidak pernah dilihat dalam lebih satu dekad.

“Di peringkat nasional dan global, jurang antara golongan terkaya dan termiskin semakin melebar. Perpindahan paksa pula meningkat pada kadar rekod dan korban awam dalam peperangan menunjukkan tren peningkatan buat pertama kali dalam beberapa tahun,” titah tuanku.

Baginda berkata demikian ketika menyampaikan Titah Diraja bertajuk Rethinking Development Ideas sempena Festival Idea Putrajaya (FOI) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Titah baginda, pembangunan juga dilihat kehilangan momentum, terutamanya selepas pandemik Covid-19 di samping perubahan iklim akibat kerakusan manusia terus menjadi ancaman besar, dengan 1.7 bilion orang terjejas oleh cuaca ekstrem dalam tempoh sedekad ini.

“Trend ini sangat membimbangkan. Ia menekankan keperluan mendesak untuk kita menilai semula pendekatan terhadap pembangunan.

“Kita semua ingin meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang lebih baik. Kita mengimpikan masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak dan cucu-cucu kita.

“Namun, kita tidak lagi boleh mengambil mudah impian itu. Malah, saya berani mengatakan bahawa manusia itu sendiri sedang diancam, kerana kita berhadapan dengan pelbagai krisis,” titah baginda.

Justeru, Sultan Nazrin mahu rakyat dan pemimpin supaya belajar mengharungi era ketidaktentuan ini melalui penyelesaian inovatif dalam menangani pelbagai masalah global sedia ada.

“Saya yakin sepenuhnya bahawa belum terlambat untuk mengubah keadaan dan mengatasi cabaran alam sekitar, ekonomi dan kemanusiaan yang mengancam impian kita untuk kemajuan.

“Apabila saya memikirkan apa yang telah dicapai oleh manusia sepanjang sejarahnya yang panjang, dan apa yang telah Malaysia capai dalam tempoh 67 tahun yang singkat sejak merdeka, saya yakin kita mampu membalikkan trend membimbangkan ini.

“Namun, kita mesti memiliki keberanian untuk bertindak dengan tegas dan mesti menemukan kemahuan politik untuk menangani beberapa isu asas yang lebih mendalam,” titah baginda.

Baginda turut bertitah supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan institusi kewangan antarabangsa perlu direformasi secara meluas supaya badan berkenaan dapat menangani cabaran yang saling berkait di seluruh dunia dengan lebih berkesan.

Antara aktiviti yang berlangsung sempena Festival Idea Putrajaya anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Selepas hampir 80 tahun Perang Dunia Kedua berakhir, PBB, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) masih berfungsi berdasarkan peraturan pemerintahan global yang lapuk, yang dibangunkan ketika itu.

“Sudah pasti masanya telah tiba untuk usaha reformasi institusi global itu dilakukan.

“Kita semua berkongsi sebuah planet, hidup di atas tanah dengan sumber daya yang dikongsi bersama, mungkin juga dalam sebuah perkampungan global,” titah baginda.

Mengenai penganjuran FOI 2024 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, Sultan Nazrin bertitah, program itu adalah satu pengiktirafan penting bahawa aspek pembangunan harus dilaksanakan secara konsep serta amalan malah perlu sentiasa berinovasi.

“Ia mesti sentiasa disemak semula, dikemas kini dan diperluas untuk memenuhi keperluan semasa yang sentiasa berubah,” titah baginda.

Program Titah Diraja pada FOI 2024 itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan wakil delegasi daripada agensi-agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta negara.

Show More

Related Articles

Back to top button