Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Nilai dagangan Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024 diunjur cecah RM60 juta

KUALA LUMPUR – Transaksi nilai dagangan Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024 diunjurkan mencecah RM60 juta sepanjang tiga hari penganjurannya yang bermula hari ini hingga 1 Disember ini, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pengarah Urusan JMM Holding dan JMM Exhibition yang juga penganjur ekspo, Albert Chan, berkata, lebih 200 jenama terkemuka dari China dan syarikat tempatan akan mempamerkan produk mereka.

Jelas beliau, jenama tersebut merangkumi pelbagai industri daripada solusi tenaga baharu, teknologi pintar, fesyen sehinggalah ke produk gaya hidup dan inovasi rumah pintar.

“Ini bukanlah sekadar acara untuk mempamerkan produk, tetapi merupakan sebuah platform transformasi di mana perniagaan boleh berhubung, pengguna mendapat manfaat, dan juga penyemaian benih untuk pertumbuhan masa depan.

“Bagi sektor perniagaan, ekspo ini menawarkan akses terus kepada lebih 200 pengeluar terkemuka, lantas membolehkan pengurangan kos logistik, rantaian bekalan yang lebih lancar, dan peningkatan daya saing pasaran.

“Bagi pengguna pula, ia menyediakan akses kepada produk berkualiti tinggi terus dari kilang, tanpa memerlukan kos platform pihak ketiga pada harga terendah.

“Dengan 80 peratus pempamer dari China dan 20 peratus dari Malaysia, ianya jelas menunjukkan minat yang kuat daripada syarikat-syarikat China dalam memanfaatkan Malaysia sebagai laluan masuk ke Asia Tenggara,” katanya dalam ucapan beliau.

JMM Holding menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Bersama MGCC pada Majlis Pelancaran Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Terdahulu Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024 secara rasminya dilancarkan hari ini, menandakan satu pencapaian penting bagi hubungan perdagangan Malaysia yang semakin meningkat dengan China.

Tambah, Albert Chan, waktu penganjuran ekspo ini amat tepat memandangkan pengumuman China baru-baru ini mengenai pelanjutan polisi pengecualian visa 30 hari untuk warganegara Malaysia yang akan mula berkuat kuasa esok.

“Inisiatif ini mencerminkan hubungan yang semakin erat antara kedua-dua negara dan menandakan peluang kerjasama yang lebih besar dalam bulan dan tahun mendatang.

“Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024 adalah hasil membanggakan daripada hubungan dua hala yang erat antara China dan Malaysia.

“Ekspo ini juga dijangka dapat mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala dan memperluaskan peluang perniagaan di seluruh Asia Tenggara,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button