Mangsa banjir di tujuh negeri cecah 75,850 orang
PUTRAJAYA – Jumlah mangsa banjir yang di tujuh negeri terus meningkat kepada 75,850 orang setakat pukul 9.15 pagi tadi.
Negeri-negeri yang terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Perak dan Selangor.
Ketika ini, sebanyak 507 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negara untuk menempatkan mangsa banjir.
Menurut maklumat daripada portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan mencatat jumlah mangsa tertinggi seramai 59,741 orang daripada 18,838 keluarga yang kini berlindung di 225 PPS di 10 daerah.
Di Terengganu, 12,377 mangsa melibatkan 3,459 keluarga ditempatkan di 233 PPS di lapan daerah, manakala di Kedah, 2,264 mangsa daripada 787 keluarga berada di 32 PPS di lima daerah.
Sementara itu, di Negeri Sembilan, sembilan PPS dibuka untuk menempatkan 849 mangsa daripada 290 keluarga di dua daerah.
Empat PPS di Perlis pula menempatkan 397 mangsa daripada 118 keluarga di tiga daerah.
Di Perak, dua PPS menempatkan 61 mangsa daripada 20 keluarga, manakala di Selangor, 161 mangsa daripada 40 keluarga ditempatkan di dua PPS.
Daripada keseluruhan jumlah mangsa, 32.6 peratus atau 24,726 orang adalah lelaki dewasa, manakala 34.95 peratus atau 26,507 orang ialah perempuan dewasa. Selain itu, terdapat 11,472 kanak-kanak lelaki (15.12 peratus), 11,027 kanak-kanak perempuan (14.54 peratus), 1,136 bayi lelaki (1.5 peratus), dan 982 bayi perempuan (1.29 peratus).
Kategori lain termasuk warga emas lelaki seramai 2,666 orang (3.56 peratus), warga emas perempuan seramai 3,097 orang (4.08 peratus), orang kurang upaya (OKU) lelaki 1,296 orang (1.71 peratus), dan OKU perempuan 752 orang (0.99 peratus).
Pihak berkuasa terus memantau keadaan semasa banjir dan menyeru orang ramai untuk sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan evakuasi jika diperlukan.