Lelaki enggan bertanggungjawab selepas langgar kereta pemandu wanita ditahan polis
TAPAH – Seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Taman Sungkai Perdana dekat Sungkai, Isnin lalu ditahan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, laporan kejadian itu diterima daripada seorang wanita berusia 23 tahun.
Menurut beliau, insiden pada jam 1.28 petang itu melibatkan kereta jenis Perodua Axia dipandu wanita terbabit dan Perodua Aruz milik lelaki berusia 47 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pengadu memandu dari rumahnya menuju ke sebuah kedai untuk membeli makanan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu lelaki terbabit tiba-tiba masuk ke laluannya dan melanggar bahagian hadapan kereta mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Naim berkata, akibat kemalangan itu, kedua-dua pemandu tidak mengalami kecederaan, hanya berlaku kerosakan pada kenderaan.
“Siasatan mendapati lokasi kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), bagaimanapun tindakan lanjut dijalankan berjaya mengesan serta membuat tangkapan terhadap lelaki tersebut.
“Punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Sarjan Sadri Omar di talian 016-9266800 bagi membantu siasatan.