Berita Semasa

Kampung Batu Papan dipilih Kampung Angkat MADANI pertama di Kelantan

GUA MUSANG – Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan Kerajaan Perpaduan bagi projek pembangunan Kampung Batu Papan di sini yang dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI pertama di Kelantan.

Menteri Perpaduan Negara (KPN), Datuk Aaron Ago Dagang berkata, projek membangunkan infrastruktur dan meningkatkan taraf hidup rakyat itu akan dimulakan selepas pihaknya mengenalpasti 18 kerja-kerja fizikal untuk dilaksanakan di kampung tersebut.

“Antaranya pemasangan lampu solar, pembaikan dewan dan tabika, ruang riadah dan sukan serta menaiktaraf infrastruktur rekreasi dan sosial.

Inisiatif Kampung Angkat MADANI memberi tumpuan kepada pengukuhan jaringan sosial, pembangunan kapasiti individu serta memperluas akses kepada peluang pembangunan yang lebih baik.

“Selain itu, program keceriaan gotong-royong dan kenduri rakyat akan turut diadakan,” katanya.

Tambah beliau, pemilihan kampung itu adalah bertepatan dengan kriteria yang digariskan kerajaan iaitu kampung yang mempunyai liputan kemudahan bawah 50 peratus atau mempunyai kemudahan asas daif dan tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus.

“Program ini memberi peluang kepada masyarakat desa untuk memperbaiki taraf hidup dan mengurangkan jurang ketidak samaan antara bandar dan desa.

“Secara keseluruhannya, inisiatif ini memberi tumpuan kepada pengukuhan jaringan sosial, pembangunan kapasiti individu serta memperluas akses kepada peluang pembangunan yang lebih baik,” ujar Aaron.

Beliau turut melahirkan keyakinan program tersebut akan mencapai visi membangunkan kampung-kampung di seluruh negara ke arah masyarakat yang lebih sejahtera, maju dan berdaya saing.

Majlis Penyerahan Projek itu merupakan simbolik komitmen kerajaan dalam membangunkan infrastruktur dan meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat sekaligus menyemai semangat kebersamaan dan memperkukuh jalinan silaturahim antara kerajaan dengan rakyat.

Program Kampung Angkat MADANI adalah inisiatif yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 bagi mempertingkatkan capaian kemudahan asas dan kemudahan masyarakat.

Sebanyak 42 buah kampung di seluruh negara terpilih sebagai Kampung Angkat MADANI membabitkan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Show More

Related Articles

Back to top button