Jalan licin, cuai punca kemalangan kenderaan tentera
KUALA LUMPUR – Keadaan jalan licin akibat cuaca buruk dan kecuaian mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikenal pasti menjadi punca kemalangan membabitkan kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada 8 November lalu.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, lembaga siasatan mendapati jalan licin akibat hujan dan muatan berat dua buah KPKP turut menyumbang kepada insiden tersebut.
“Hasil siasatan mengenal pasti keadaan cuaca sebagai punca utama menyebabkan permukaan jalan licin. Selain itu, momentum serta muatan berat dua buah KPKP turut memainkan peranan.
“Bagaimanapun, terdapat unsur kecuaian apabila pemandu memandu melebihi had laju yang ditetapkan SOP,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengurniaan Pangkat kepada seorang anggota tentera yang menyelamatkan empat remaja daripada lemas di Puncak Alam, semalam.
Menurut beliau, Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak akan berkompromi dengan kecuaian mana-mana pihak yang terlibat dalam insiden itu, termasuk pemandu dan penyelia konvoi.
“Kita akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang bertanggungjawab, selaras dengan peraturan tentera. Pergerakan konvoi tentera perlu mematuhi SOP yang ketat, termasuk kenderaan pengiring dan had laju, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan aset kerajaan.
“Kami tidak mahu sebarang pergerakan melibatkan kenderaan dan peralatan kami membahayakan pengguna jalan raya atau merosakkan aset kerajaan. Oleh itu, langkah berhati-hati amat diperlukan,” katanya lagi.
Mengulas mengenai kerugian, beliau memaklumkan tiada kerosakan pada kenderaan perisai yang diangkut, namun treler pengangkut mengalami kerosakan dengan anggaran kos pembaikan sekitar RM182,000.
Insiden yang berlaku pada pukul 4.45 petang itu melibatkan konvoi enam KPKP membawa 12 kereta jenis A (KJA) Adnan dari Kem Batu 10, Kuantan menuju ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas, untuk Latihan Peningkatan Tempur (LPT).
TDM memberi jaminan bahawa langkah-langkah penambahbaikan akan diambil bagi mencegah kejadian serupa pada masa akan datang.