Berita Semasa

Harga beras putih import turun berkuat kuasa 1 Disember ini

PUTRAJAYA – Berkuat kuasa 1 Disember ini harga jualan beras putih import di pintu gudang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di Semenanjung diturunkan daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 per tan metrik.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan BERNAS baru-baru ini.

“Penurunan harga ini adalah selari dengan penurunan harga semasa pasaran beras dunia serta pengukuhan nilai tukaran Ringgit Malaysia berbanding AS dolar.

“Kerajaan optimis inisiatif ini akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui peningkatan akses dan ketersediaan bekalan beras pada harga yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, KPKM akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang mengenai struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik untuk memastikan industri padi dan beras negara terus berkembang dan seterusnya dapat menjaga kebajikan pesawah serta meningkatkan Tahap Sara Diri (SSR) beras negara.

“Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh Kerajaan Madani dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button