Dua beradik maut, seorang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Kuala Berang
KUALA BERANG – Dua beradik maut, manakala seorang lagi cedera selepas rumah mereka di Kampung Bukit Apit di sini dihempap tanah runtuh petang tadi.
Kejadian tragis yang berlaku sekitar pukul 4.30 petang itu meragut nyawa Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya, Siti Fatimah, 13.
Kedua-dua mangsa ditemukan tidak bernyawa masing-masing pada pukul 6.32 petang dan 6.59 petang.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang terselamat, Uzair, 17, ditemukan pada jam 5.17 petang dan segera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.59 petang.
BH Online melaporkan jiran mangsa, Danial Arabi, 36, mendengar suara mangsa meminta tolong namun tidak dapat membantu kerana tidak mengetahui lokasi tepat mereka.
“Saya sedang berehat di rumah apabila terdengar bunyi dentuman kuat.
“Apabila keluar, saya melihat tanah runtuh telah menghempap tiga rumah, termasuk rumah yang didiami keluarga mangsa,” katanya.
Insiden tersebut melibatkan sebuah rumah yang dihuni enam beranak serta dua rumah lain yang masih dalam pembinaan.
Operasi menyelamat melibatkan pasukan bomba bersama bantuan penduduk setempat berterusan sehingga semua mangsa ditemukan.
Kejadian ini menimbulkan kebimbangan penduduk sekitar mengenai keselamatan kawasan tersebut.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kejadian.