Berita SemasaBisnes & Ekonomi

19 usahawan TEKUN terima anugerah cemerlang

KUALA LUMPUR – Seramai 19 usahawan TEKUN Nasional menerima anugerah peringkat negeri dan peringkat kebangsaan dalam Majlis Anugerah Usahawan Berjaya TEKUN Nasional 2024, di World Trade Centre, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berharap pengiktirafan itu dapat menjadi motivasi dan inspirasi kepada usahawan lain untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan masing-masing.

“Saya sangat berbangga dengan pencapaian dan kejayaan usahawan-usahawan ini. Saya juga merancang untuk mengadakan kunjungan ke premis mereka bermula dengan penerima anugerah kebangsaan.

“Semoga kejayaan mereka menjadi motivasi dan inspirasi kepada usahawan atau bakal usahawan, bermula dengan langkah yang kecil tetapi semangat dan disiplin yang besar, bermula dengan usaha kecil tetapi punya wawasan besar, memulakan dengan modal kecil tetapi meraih pendapatan yang besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, semalam.

Ewon Benedict menyampaikan anugerah kepada salah seorang daripada usahawan cemerlang OKU.

Ewon berkata, majlis anugerah itu bertujuan meraikan kejayaan usahawan yang dibimbing dan dibiayai TEKUN.

“Semoga dengan pengiktirafan ini, agensi dan institusi pembiayaan yang lain boleh menawarkan modal yang lebih besar kepada usahawan yang ingin mengembangkan lagi perusahaan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon turut menghargai gerak kerja TEKUN Nasional dalam membantu dan membimbing para usahawan yang kini mencecah hampir 600,000 orang sejak ditubuhkan.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus menyokong warga kerja TEKUN dalam membangunkan sektor keusahawanan mikro dan kecil dalam negara,” katanya.

Ewon Benedict menyampaikan Anugerah Usahawan Berjaya TEKUN Nasional 2024, di World Trade Centre, di sini, semalam.

Ewon berkata, pencapaian itu membuktikan peranan penting TEKUN dalam pembangunan keusahawanan khususnya dalam aspek tadbir urus yang memenuhi piawaian peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Untuk rekod, TEKUN sehingga kini telah menerima 14 anugerah di peringkat antarabangsa.

Untuk tahun ini, TEKUN menerima Anugerah SME Development 2024 daripada Association of Development Financial Institution Asia Pacific di Phnom Penh, Kemboja; pengiktirafan pensijilan ISO 22301 Business Continuity Management System daripada SIRIM QAS International dan IQNet; persijilan ISO 37001 Anti Bribery Management System daripada Anti Bribery Anti Corruption Center of Excellence dan United Kingdom Accreditation Service.

 

Show More

Related Articles

Back to top button