Tujuh stesen pemancar, 42 NADI terjejas akibat banjir Pantai Timur
CYBERJAYA – Tujuh stesen pemancar dan 42 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terjejas dalam bencana banjir yang melanda negeri Kelantan dan Terengganu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memberitahu, sehingga pukul 10 pagi tadi, enam stesen pemancar terjejas di Kelantan adalah di Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah.
Manakala di Hulu Terengganu, sebuah stesen pemancar dilaporkan terjejas.
“Daripada 42 NADI yang terjejas, 27 adalah di Kelantan, dan 15 di Terengganu.
“Kesemuanya terpaksa ditutup akibat ditenggelami air dan putus bekalan elektrik. Akses ke lokasi-lokasi NADI juga terhalang,” menurut kenyataan tersebut.
MCMC berkata, bagi memastikan mangsa-mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri tersebut terus mendapat akses Internet, pihak MCMC negeri telah menjalankan ujian liputan di beberapa PPS.
Usaha itu bertujuan memastikan liputan telekomunikasi berada pada tahap yang memuaskan.
“MCMC dengan kerjasama penyedia perkhidmatan akan terus menjalankan pemantauan rapi di negeri-negeri yang terjejas akibat banjir khususnya infrastruktur telekomunikasi yang dianggap kritikal.
“Selain itu, kami akan memastikan perkhidmatan telekomunikasi akan beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya.