Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Toh Puan Na’imah dapat kembali pasport secara kekal

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal.

Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim berkata, hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi undang-undang apabila mengarahkan Naimah Khalid menyerahkan pasportnya awal tahun ini.

“Tiada alasan sah diberikan atas perintah itu,” katanya yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin

Januari lalu, Na’imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis mengisytiharkan hartanya, termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Nai’imah didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Pada Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Na’imah selaku pemohon bagi menyemak semula perintah Mahkamah Sesyen yang menahan pasportnya selepas didakwa gagal mengisytiharkan harta.

Ketika itu, mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwa bahawa tidak ada jaminan pemohon melarikan diri jika pasport tidak ditahan di mahkamah.

Show More

Related Articles

Back to top button