Segera dakwa semula Najib dan Irwan Serigar – Lim Lip Eng
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, menggesa Jabatan Peguam Negara supaya mendakwa semula bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar, selepas keputusan mahkamah memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) ke atas mereka berhubung enam pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana International Petroleum Investment Company (IPIC).
Lip Eng berkata, keputusan itu amat membimbangkan kerana kes terbabit melibatkan jumlah wang rakyat yang besar dan mendapat perhatian seluruh negara.
“Jabatan Peguam Negara mempunyai tanggungjawab memastikan keadilan ditegakkan tanpa sebarang kelewatan, kompromi, atau halangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru agar dua tindakan utama dilaksanakan segera iaitu mengkaji semula kes tersebut dan mendakwa semula kedua-dua individu jika terdapat bukti kukuh.
“Pendakwaan mesti dilakukan tanpa sebarang kelewatan dan dokumen pendakwaan perlu disiapkan sepenuhnya serta dikemukakan dengan teratur bagi memastikan perbicaraan berjalan lancar tanpa isu teknikal,” jelasnya.
Lip Eng turut berkata, kes itu menjadi ujian besar terhadap komitmen negara dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan keadilan.
“Tindakan tegas dan segera amat penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi kehakiman negara,” katanya lagi.