Berita Semasa

Program JENDELA: 1,385 menara telco disiapkan, hanya 808 sedang beroperasi

KUALA LUMPUR – Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang dalam proses mendapatkan maklumat dan bukti-bukti ketidakpatuhan para kontraktor yang terlibat dalam pembinaan menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, setakat 31 Oktober, sebanyak 1,385 daripada 1,661 menara telah siap dibina dan daripada jumlah tersebut, hanya 808 menara sedang beroperasi.

“Bagi menara-menara yang menghadapi kelewatan, tindakan tegas akan dikenakan ke atas kontraktor terlibat.

“Antara penalti yang boleh dikenakan di bawah Notis Pemberitahuan Penamaan (Notification of Approval) kepada pihak pembina menara atas kegagalan menyiapkan menara dalam tempoh yang ditetapkan adalah liquidated damages, mengambil Performance Bond, penolakan tuntutan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang bertanya mengenai status pelaksanaan projek menara telekomunikasi di bawah JENDELA dan tindakan yang dilaksanakan terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan projek tersebut mengikut tempoh masa ditetapkan.

Semalam, ketika hadir pada satu majlis di ibunegara, Fahmi menzahirkan gesaan supaya pembinaan menara telekomunikasi di bawah projek Fasa 1 JENDELA dapat disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan, bagi mengurangkan jurang literasi digital sekali gus mempercepat kesalinghubungan digital negara.

Beliau turut menambah, kelewatan pembinaan dan penyiapan yang berlaku dalam Fasa 1 ini memungkinkan terdapat keperluan untuk merombak keseluruhan proses pelaksanaan Fasa 2 JENDELA bagi memastikan keberkesanan program tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button