Menteri Kesihatan prihatin petugas kesihatan terjejas perubahan syif kerja
PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad menyatakan komitmennya untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan petugas kesihatan yang terkesan dengan perubahan jadual kerja syif dipelihara.
Dalam kenyataannya di Facebook malam ini, beliau memaklumkan bahawa proses perbincangan telah lama dimulakan termasuk pertemuan bersama kesatuan-kesatuan sekerja yang mewakili pelbagai skim perkhidmatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pagi tadi.
Antara petugas yang bekerja secara syif di KKM ialah jururawat, penolong pegawai perubatan, pembantu perawatan kesihatan, pemandu ambulans, pembantu tadbir di jabatan kecemasan, pegawai keselamatan kerajaan, dan pegawai khidmat pelanggan.
Beliau juga mengakui isu itu perlu ditangani dengan teliti bagi memastikan keseimbangan antara keperluan profesional dan kesejahteraan hidup berkeluarga mereka.
“Kebajikan, kesihatan dan keselamatan petugas adalah keutamaan kami. Pada masa yang sama, keselamatan pesakit yang berada di bawah jagaan KKM juga tidak boleh dikompromi,” katanya.
Pada masa sama beliau turut mengalu-alukan usaha persatuan dan kesatuan sekerja yang telah memulakan proses perbincangan mereka sendiri dan berjanji untuk menerima segala pandangan serta cadangan dengan tangan terbuka.
Dalam pertemuan tersebut, beberapa kesatuan yang hadir termasuk Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Kesatuan Bidan-bidan dan Jururawat Masyarakat Kerajaan Semenanjung Malaysia, Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah, Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sarawak, dan lain-lain lagi.
Katanya, semua pihak menyatakan komitmen untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik demi kesihatan rakyat Malaysia.
“Insya-Allah, kami akan memastikan keputusan yang terbaik dibuat untuk kebajikan, keselamatan, kesihatan, dan kesejahteraan semua petugas,” tambah beliau, sambil merakamkan penghargaan atas pengorbanan dan dedikasi mereka.