Berita Semasa

Enam Seksyen Red Line Pan Borneo diluluskan dengan kos RM120 juta

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam seksyen Red Line bagi projek jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak diluluskan berbanding sembilan yang dimohon pada Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dengan kos keseluruhan RM120 juta.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melalui jawapan lisan terhadap pertanyaan yang dikemukakan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab dalam persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Alexander berkata, enam seksyen tersebut ialah Seksyen Lachau (Bukit Begunan), Seksyen Kemena (Bintulu Dan Bakun), Seksyen Sebiew (Niah), Seksyen Tudan (Beluru), Seksyen Selangau dan Seksyen Balingian.

“Kelulusan yang diberikan bagi sekyen ini adalah mengikut penilaian dan keperluan yang mendesak di seksyen tersebut. Manakala baki seksyen selebihnya akan dimohon pada Rolling Plan yang akan datang.

“Kementerian juga berharap dengan penyiapan projek ini akan dapat memulihkan dan mengukuhkan lagi laluan berkembar 4 Lorong 2 hala, standard JKR R5 yang sedia ada untuk dipadankan dengan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang sudah siap,” ujarnya.

Tambah beliau, apabila projek itu siap, Sambungan Cekap akan dapat disediakan untuk pergerakan penduduk setempat.

“Selain itu, barangan dapat sampai ke destinasi dengan cepat dan selamat sekali gus dapat meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Untuk rekod, permohonan naiktaraf jalan yang diklasifikasikan sebagai Red Line itu mempunyai jajaran sepanjang 136.74km daripada Teluk Melanau ke Miri.

Ia telah dimohon oleh JKR Negeri Sarawak kepada Kementerian Kerja Raya untuk diangkat pada Rolling Plan 5, RMK12.

Show More

Related Articles

Back to top button