Gaya HidupRencana

Urutan saraf serendah RM50, Zuripah bantu ringan beban kaum ibu

WANITA ibarat sekuntum bunga, lembut pada zahirnya namun memerlukan penjagaan rapi agar kekal mekar.

Ya, wanita adalah makhluk Allah yang diciptakan dengan kekuatan luar biasa tetapi seringkali memikul beban yang tidak terlihat dek mata.

Keletihan, kelelahan, tekanan dan ketegangan yang menguasai tubuh mereka disembunyikan dalam segaris senyuman.

Justeru, menjaga dalaman wanita bukan sekadar satu keperluan malah ia boleh dianggap satu penghargaan terhadap peranan mulia yang mereka galas sebagai ‘pengurus’ rumah tangga.

Urutan saraf satu terapi tradisional dalam menjaga kesihatan diri terutama buat wanita.

Antara kaedah penjagaan dalaman wanita yang boleh dilakukan adalah melalui urutan saraf.

Ia merupakan terapi tradisional yang memberi fokus rangsangan pada titik-titik saraf tertentu di anggota badan bagi membantu memperbaiki aliran darah, mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesihatan keseluruhan.

Menyedari kepentingan itulah Zuripah Rajab, 56, tampil menawarkan khidmat urutan saraf bagi membantu golongan Hawa yang sering berdepan masalah kesihatan diri.

Menurut wanita itu, urutan saraf bukan sekadar terapi fizikal bahkan ia adalah sentuhan yang mampu membangkitkan semula tenaga, menyuntik rasa tenang dan mengimbangi emosi setiap wanita.

Zuripah menawarkan urutan saraf serendah RM50 bagi membantu kaum wanita yang bermasalah.

“Alhamdulillah, Allah kurniakan kelebihan pada saya dalam bidang urutan saraf selepas mendalami ilmu mengenainya. Jadi, ketika di awal penglibatan sebagai tukang urut saraf, saya sudah berniat untuk membantu wanita yang memerlukan,” kata Zuripah ketika ditemui Malaysia Tribune.

Dikenali dengan perkhidmatan urutan saraf Simfoni Alam, wanita itu menjadikan rumahnya di Labu, Negeri Sembilan sebagai premis operasi.

Malah, beliau hanya meletakkan harga serendah RM50 tanpa sebarang caj tambahan sejak memulakan rawatan urutan saraf pada tahun 2018.

“Saya mengurut bukan untuk kaya, tetapi khusus untuk membantu kaum sejenis yang berdepan pelbagai ujian kehidupan. Banyak kisah yang diceritakan pelanggan yang datang berurut membuatkan saya lebih mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan.

“Apa yang lebih penting, apabila pelanggan memberitahu keadaan kesihatan mereka semakin baik, itu adalah kepuasan yang tidak terhingga bagi saya,” tutur Zuripah lagi.

Tubuh manusia merupakan satu ciptaan Tuhan yang sangat kompleks dan terhubung melalui sistem saraf.

Sebagai wanita, membelai diri sendiri melalui rawatan seperti urutan saraf bukanlah tanda kelemahan, tetapi sebuah peringatan bahawa tubuh dan jiwa kita juga berhak untuk dihargai dan dicintai.

Ini kerana hakikatnya, dalam setiap tekanan pada titik saraf, terselit usaha menyembuhkan luka yang mungkin tak terlihat, baik pada tubuh mahupun jiwa seorang wanita.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan khidmat urutan saraf Simfoni Alam, Zuripah boleh hubungi di talian 011-1149 8521.

Urutan saraf Simfoni Alam yang ditawarkan Zauripah buat kaum Hawa beroperasi di rumahnya yang terletak di Labu, Negeri Sembilan.

Kelebihan urutan saraf untuk wanita:

1. Melancarkan peredaran darah
Urutan saraf membantu memperbaiki aliran darah, terutamanya di kawasan-kawasan yang sering tegang akibat gaya hidup moden seperti leher, bahu dan belakang badan. Aliran darah yang baik penting untuk membawa oksigen dan nutrisi ke seluruh tubuh.

2. Mengurangkan ketegangan otot
Ramai wanita mengalami ketegangan otot akibat kerja, mengurus keluarga atau faktor tekanan harian. Urutan saraf boleh membantu melegakan kekejangan otot dan meningkatkan kelenturan badan.

3. Meningkatkan keseimbangan emosi
Sentuhan dan tekanan pada saraf tertentu boleh merangsang pengeluaran hormon endorfin, yang membantu mengurangkan tekanan dan memberikan rasa tenang. Ini amat bermanfaat untuk wanita yang sering menghadapi cabaran emosi.

4. Menyokong sistem saraf dan kesihatan mental
Urutan saraf boleh membantu mengurangkan simptom kebas atau ‘kesemutan’ akibat masalah saraf. Selain itu, ia juga menyokong kesihatan mental, terutamanya bagi mereka yang berhadapan dengan keletihan mental.

5. Meningkatkan kesihatan wanita secara keseluruhan
Urutan ini juga dipercayai membantu dalam penjagaan sistem pembiakan wanita, mengurangkan ketidakselesaan haid dan meningkatkan tenaga dalaman wanita, terutamanya bagi ibu-ibu selepas bersalin.

Show More

Related Articles

Back to top button