Berita Semasa

Selangor bakal anjur Sidang Kemuncak Ekonomi Penjagaan tahun depan

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri akan menganjurkan Sidang Kemuncak Ekonomi Penjagaan Selangor (Selangor Care Economy Summit) tahun depan dalam usaha mengiktiraf peranan penting mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penjagaan seperti gaji yang lebih berpatutan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program itu selaras dengan pengumuman Selangor sebagai negeri pertama yang melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor.

Inisiatif itu katanya adalah sebagai persediaan menghadapi situasi negeri menua apabila 8.1 peratus daripada penduduknya berumur 65 tahun ke atas.

“Dasar ini dilancar bagi menggabungkan peranan Kerajaan Negeri, komuniti dan sektor swasta yang akan berlangsung sehingga tahun 2030.

“Ia akan mengambil kira aspek penjagaan warga emas, penjagaan kanak-kanak, orang kurang upaya serta pengukuhan sokongan kepada komuniti penjaga yang formal dan tidak formal,” ujar beliau dalam satu kenyataan selepas melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Tambah Amirudin, walaupun Selangor menduduki tangga ke-5 selepas Perak, Kedah, Sarawak dan Perlis dari segi peratus masyarakat menua, dari segi jumlahnya, Selangor mempunyai angka yang paling tinggi memandangkan kepadatan penduduk dan populasi yang tinggi sebanyak 7.36 juta.

“Di Selangor, tiga daerah yang mempunyai peratus populasi paling tinggi warga emas adalah Kuala Selangor, Sepang dan Hulu Langat,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sebagai perbandingan, pada tahun 1970, hanya 5.5 peratus daripada populasi Malaysia merupakan warga yang berumur 60 tahun ke atas, manakala jumlah populasi yang berumur 14 tahun ke bawah adalah sebanyak 44.5 peratus.

Pada tahun 2024, populasi kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah telah menurun kepada 22.2 peratus manakala kadar populasi warga emas melebihi umur 60 tahun telah meningkat kepada 11.6 peratus.

“Keadaan ini mendorong Kerajaan Negeri untuk merangka Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor dengan 5 teras iaitu Advokasi dan Promosi; Tatakelola dan Kawal Selia; Penjaga Terlatih dan Tenaga Kerja; Pelaburan dan Kerjasama serta Inovasi, Teknologi dan Data,” kata beliau.

Dalam pada itu, Amirudin memberitahu dasar ini akan merangkumi peranan agensi Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan agar memudahcara proses latihan dan pengiktirafan penjaga yang tidak formal terutamanya mereka yang menjaga anak-anak ataupun warga emas di rumah ataupun komuniti.

“Saya berharap Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor digerakkan sepenuhnya bagi memberikan kebaikan kepada warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya, komuniti penjaga serta rakyat Selangor secara keseluruhan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button