Berita Semasa

RM156 juta dari KPKT: Fokus kepada kesejahteraan dan infrastruktur Kelantan

KOTA BHARU – Kerajaan mengumumkan peruntukan pembangunan sebanyak RM156 juta untuk negeri Kelantan, termasuk RM150.4 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPTK) dan RM5.5 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, peruntukan itu adalah bagi pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan 448 Rumah Mesra Rakyat (RMR) di negeri Kelantan.

Jelas beliau, secara keseluruhannya, sebanyak RM150.4 juta diperuntukkan KPKT untuk pembangunan dan menaik taraf infrastruktur awam di negeri itu.

“Sebanyak RM48 juta diperuntukkan untuk projek pembangunan landskap perbandaran Kota Bharu di Pusat Bandar Kota Bharu, manakala Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) sebanyak RM35.9 juta untuk 448 unit rumah di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Kesemua RMR ini telah siap dibina pada tahun 2024.

“Selain itu, KPKT juga telah memperuntukkan RM48 juta untuk projek pembangunan Landskap Perbandaran Kota Bharu serta RM12 juta untuk projek menaik taraf gerai dan dataran Pantai Cahaya Bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kor Ming turun padang menyantuni peniaga dan meninjau projek menaik taraf Pasar Siti Khadijah.

Terdahulu, Kor Ming bersama pasukan KPKT telah turun padang meninjau projek menaik taraf Pasar Siti Khadijah di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, Kor Ming telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk projek menaik taraf Pasar Siti Khadijah.

“Ini menambah jumlah peruntukan untuk pasar tersebut sehingga RM6.5 juta dan akan digunakan untuk kerja-kerja mengecat struktur besi bumbung Laman Siti Khadijah dan membaik pulih struktur konkrit dalam pasar besar Siti Khadijah,” katanya.

Sementara itu, dalam siri lawatan kerja ke negeri Kelantan hari ini, Kor Ming turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM300,000 kepada 15 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri Kelantan bagi tujuan penambahbaikan fasiliti dan pembangunan pendidikan.

“KPKT akan terus memfokuskan kepada pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan secara bersepadu dan inklusif bagi merealisasikan perancangan pembangunan yang mampan demi meningkatkan aspek daya huni dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button