Rehabilitasi ahli GISBH turut libatkan pemberian elaun, latihan kemahiran
Angka penyertaan masih rendah kerana bersifat sukarela
KUALA LUMPUR – Program rehabilitasi ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang dilaksanakan kerajaan turut menawarkan bantuan kewangan elaun harian dan latihan kemahiran.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan bagaimanapun berkata, jumlah ahli GISBH yang menghadiri program rehabilitasi selama 90 hari itu masih rendah memandangkan ia bersifat sukarela.
“Kita ambil maklum bahawa ianya adalah bersifat sukarela.
“Namun begitu, daripada anak-anak yang masih berada di rumah perlindungan, kita teruskan program untuk memberikan persekolahan supaya dapat mengikut ajaran Islam yang sebenar,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Zulkifli berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) berhubung usaha memanggil ahli GISBH supaya dapat dipulihkan.
Mengenai pemberian elaun, Dr Zulkifli berkata, elaun harian tersebut turut diberikan kepada isteri dan anak-anak ahli GISBH.
“Kita juga menawarkan latihan kemahiran kepada mereka yang mengikuti program berkenaan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup,” katanya lagi.
Mengulas mengenai kriteria ajaran sesat, Zulkifli berkata, antaranya ciri-cirinya adalah ketaksuban kepada pemimpin yang melampau sehingga menganggap mereka seperti Nabi yang maksum.
Selan itu, memanipulasi sepenuhnya kenaifan orang bawahan bagi tujuan memenuhi kehendak atasan, berdusta atas nama Allah dan Rasulullah serta mengajar pengikut menjadi fanatik dengan melazimi amalan tertentu sebagai tanda kesetiaan.