Berita Semasa

Pendapatan sewaan Stadium Hoki untuk konsert digunakan bantu pasukan amatur, veteran

KUALA LUMPUR – Hasil pendapatan penyewaan Stadium Hoki Kebangsaan Bukit Jalil untuk acara seperti konsert boleh digunakan untuk membantu pasukan hoki yang tidak mampu membayar yuran sewa stadium.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihak stadium turut mempunyai prosedur operasi standard yang ketat bagi melindungi permukaan padang semasa acara bukan sukan.

“Hasil sewaan daripada acara seperti konsert (akan) membolehkan kami menyediakan akses percuma kepada pasukan hoki lain, seperti pasukan amatur, veteran dan kumpulan lain yang tidak mampu membayar kadar sewa biasa,” kata Hannah ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menjelaskan, stadium tersebut mempunyai dua padang hoki, dengan satu dikhaskan untuk latihan pasukan hoki kebangsaan, dan memaklumkan acara-acara sedemikian hanya dijadualkan jika tidak bertembung dengan aktiviti hoki, dengan nisbah penggunaan 60:40 untuk acara sukan berbanding bukan sukan.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa prestasi hoki kita tidak terjejas disebabkan konsert,” katanya lagi.

Hannah berkata demikian bagi menjawab kritikan Fawwaz Jan (PN-Permatang Pauh) yang mempersoalkan tindakan kerajaan membenarkan 26 konsert diadakan pada tahun 2025 di Stadium Hoki Kebangsaan Bukit Jalil.

Fawwaz juga bertanya sama ada konsert atau acara tersebut akan mengganggu jadual latihan dan pertandingan, sekali gus berpotensi menjejaskan prestasi pasukan hoki tempatan.

Show More

Related Articles

Back to top button