MPSepang jayakan tanaman padi tiga musim di Taman Tasik Cyberjaya
SIAPA sangka di tengah-tengah landskap bandar futuristik yang sinonim dengan pembangunan teknologi maklumat, Cyberjaya menyembunyikan sebuah permata alam iaitu sawah padi yang mendamaikan.
Diusahakan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) di Taman Tasik Cyberjaya, kewujudan beberapa petak sawah ini menjadi simbol harmoni di antara kemajuan moden dan kelestarian tradisi agrikultur.
Ia bukan sahaja menarik perhatian pencinta alam, bahkan menjadi tarikan unik yang memperlihatkan bagaimana nilai tradisional mampu bertapak di kawasan metropolitan.
Pengarah Jabatan Landskap MPSepang, Arefah Rahim berkata, idea asal tanaman sawah padi tersebut diusulkan oleh Yang Di Pertua MPSepang, Datuk Abd. Hamid Hussain.
“Projek ini telah dimulakan pada 24 Oktober 2023 di Kebun Bandar@Cyberjaya. Kami telah mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Daerah Sepang dalam aspek sistem pengairan, level tanah dan pembajaan dalam melaksanakan tanaman padi ini.
“Selebihnya ia diuruskan oleh kakitangan Jabatan Landskap sendiri. Kami menggunakan benih padi jenis MR297 Siraj yang mencapai usia matang selepas sebulan ditanam.
“Jadi, dalam setahun kita boleh dapat tiga kali sesi tuaian. Kali pertama pada Mac lalu, diikuti bulan Ogos dan terakhir bulan November ini,” jelas Arefah ketika ditemui media pada Majlis Santai Tuai Padi 3.0 anjuran MPSepang semalam.
Menurut beliau, satu petak sawah padi mempunyai keluasan 450 meter persegi dan ia boleh menghasilkan antara 10 hingga 13 kilogram (kg) beras.
“Kapasiti sekarang kami dah dapat empat petak sawah dan berjaya hasilkan lebih kurang 60 kg beras yang telah siap diproses,” ujarnya lagi.
Ditanya tentang cabaran yang dihadapi dalam mengusahakan projek tersebut, Arefah memberitahu paling utama ia melibatkan cuaca.
“Kakitangan saya bertanggungjawab sepenuhnya memastikan pengaliran air dengan betul. Contohnya, bila musim hujan kita kena lepaskan air dari petak sawah keluar bagi mengelakkan padi yang ditanam tenggelam.
“Kemudian, apabila musim panas bermula dari bulan Mac hingga Mei, memang kita akan pam air ke dalam petak sawah dari sungai di kawasan bersebelahan bagi mengelakkan tanaman kering atau tidak menjadi,” kata beliau sambil memaklumkan kos operasi projek tanaman padi itu sekitar RM10,000 bagi setiap musim.
Sementara itu, Juruteknik Jabatan Landskap MPSepang, Afham Mohd Sadini, 37, berkongsi, pada awal permulaan projek itu, mereka berdepan cabaran untuk membangunkan tanah.
“Dahulu kawasan ini dipenuhi belukar dan pembuangan tanah batu serta sisa kotoran. Oleh itu, kami perlu naturalkan tanah dengan menggunakan bahan organik. Antaranya garam kasar dan baja organik.
“Kini, apabila menyaksikan projek sawah padi ini berhasil, kami rasa amat teruja kerana berpeluang memberi pendidikan kepada penduduk bandar mengenai proses penanaman padi yang berjaya menghasilkan beras,” tutur Afham.
Selain tanaman padi, lokasi yang telah diwartakan sebagai kawasan hijau itu turut menawarkan pelbagai jenis pokok yang agak sukar ditemui di bandar.
Ia termasuklah pokok sentul, gajus, limau bali, belimbing buluh dan pokok sukun yang ditanam di kawasan berkenaan.
Secara keseluruhan terdapat 400 pokok yang telah ditanam dan bakal dituai hasilnya kelak.
Dalam pada itu, di samping sawah padi dan pokok-pokok, MPSepang turut memelihara tiga ekor lembu dan beberapa ekor ayam kampung di Kebun Bandar tersebut.
Semuanya bertujuan untuk memberi peluang masyarakat bandar mendekati haiwan yang sinonim di kampung itu.