Lelaki maut, jatuh dalam sungai akibat kena renjatan elektrik
PASIR PUTEH – Akibat menutup suis mesin basuh, seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik di kediamannya di Kampung Banir Belikong, di sini, awal pagi tadi.
Lebih malang, mangsa yang berusia 33 tahun itu kemudian terjatuh ke sungai depan rumahnya selepas terkena renjatan elektrik.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 4.57 pagi itu, mangsa ingin menutup suis mesin basuh yang berada di depan rumahnya dengan rumah mangsa sudah dilanda banjir dengan keadaan arus deras.
Rumah mangsa juga berada di kawasan rendah dan bersebelahan sungai.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.57 pagi sebelum pihaknya tiba di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa ditemui jam 5.30 pagi dalam keadaan tersangkut di pokok bunga beberapa meter dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh. Operasi tamat jam 5.34 pagi,” katanya memetik laporan BH Online.