Berita Semasa

Hujan lebat berterusan masih melanda bahagian utara, pantai timur Semenanjung – MetMalaysia

KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan sedang mengalami hujan lebat berterusan, terutamanya di bahagian utara Semenanjung, pantai timur, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), hujan lebat yang melanda negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dijangka beransur reda dalam masa terdekat.

“Seiring dengan amaran hujan lebat berterusan yang dikeluarkan, hujan lebat kini sedang melanda kebanyakan kawasan terutamanya di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, serta kebanyakan bahagian di Pahang dan pantai barat Semenanjung negara.

“Pada sebelah petang, hujan ini dijangka bergerak ke kawasan pedalaman sebelum menuju ke arah barat Semenanjung.
“Menjelang petang hingga malam, hujan ringan dijangka melanda hampir keseluruhan negeri di Semenanjung negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, di Sarawak, hujan kini sedang melanda kawasan Sarikei, Sibu, dan Mukah dan dijangka akan bergerak menjauhi daratan dalam masa dua hingga tiga jam.

Di Sabah pula, hujan juga dilaporkan di kawasan Kudat, dengan keadaan ini dijangka beransur reda. Pada lewat pagi, hujan dijangka melanda hampir keseluruhan bahagian di Sabah.

Orang ramai di kawasan-kawasan yang terlibat dinasihati untuk berhati-hati terhadap kemungkinan berlakunya banjir dan pokok tumbang.

Show More

Related Articles

Back to top button