Mangsa banjir di Melaka Tengah meningkat kepada 264 orang
MELAKA – Jumlah mangsa banjir di daerah Melaka Tengah terus meningkat kepada 264 orang daripada 71 keluarga berbanding 224 mangsa lewat malam tadi, ekoran keadaan air yang masih belum surut.
EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, peningkatan itu melibatkan penduduk dari empat kawasan utama, iaitu Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Kampung Bukit Datuk A dan Kampung Pantai Kundor.
“Semua mangsa kini ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas rumah mereka ditenggelami banjir akibat hujan lebat yang bermula pukul 5 petang semalam.
“Seramai 179 mangsa daripada 47 keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2, diikuti 32 mangsa daripada 10 keluarga di Dewan JAPERUN Pantai Kundor, manakala 53 mangsa daripada 14 keluarga di SK Taman Bukit Rambai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput menyifatkan banjir yang melanda kawasan DUN Paya Rumput, Pantai Kundor, dan Klebang kali ini antara yang terburuk dalam tempoh tiga tahun.
“Berdasarkan jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS, trend menunjukkan peningkatan sejak lewat malam tadi.
“Kawasan yang paling terjejas di DUN Paya Rumput termasuk Taman Rambai Utama, Taman Rambai Jaya dan Tanjung Minyak,” katanya.
Rais berkata, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melawat lokasi terjejas untuk mengenal pasti punca masalah serta mengambil langkah segera bagi mengatasi banjir.
“Saya boleh katakan itu antara banjir paling buruk sepanjang saya menjadi wakil rakyat di kawasan ini. Tindakan segera sedang diambil untuk membantu penduduk yang terkesan,” katanya lagi.
Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan mereka.