BERSEDEKAH adalah satu amalan mulia yang sangat digalakkan dalam Islam. Dengan sedekah, ia bukan sahaja mampu mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, malah turut membuka pintu keberkatan, ketenangan hati dan rezeki yang melimpah ruah.
Bagaimanapun, tahukah kita bahawa dalam konsep memberi ini, agama mengajar kita supaya mendahulukan sedekah buat ahli keluarga. Ia sesuai dengan sabdaan Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Satu dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah, satu dinar yang engkau belanjakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin dan satu dinar yang engkau belanjakan kepada keluargamu, yang paling besar pahalanya ialah yang engkau belanjakan kepada keluargamu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Daripada hadis ini, jelas bahawa nafkah atau sedekah kepada ahli keluarga mengandungi dua kebaikan sekali gus iaitu ia menjadi amal ibadah dan tanda kasih sayang.
Ketua Kursus Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan, Ustazah Rohamiah Muda berkata, di dalam Islam bersedekah kepada ahli keluarga mempunyai kelebihan yang sangat istimewa.
“Ia bukan sahaja memenuhi hak mereka tetapi juga dapat memperkukuhkan ikatan kekeluargaan selain menjadi ladang pahala yang berpanjangan.
“Dalam zaman ekonomi yang mencabar ini, bantuan sedekah kepada ahli keluarga terdekat yang memerlukan boleh menjadi motivasi dan sumber kekuatan bagi mereka untuk terus tabah berdepan ujian kehidupan,” kata Rohamiah kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, bersedekah bukan sekadar memberi dalam bentuk material. Ia juga merangkumi sokongan moral, doa dan perhatian yang tulus terhadap ahli keluarga.
Rohamiah turut membawakan firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 36 yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”
Ujar beliau, dalam membuat kebaikan termasuk bersedekah terdapat sembilan ranking yang telah digariskan Allah sebagai panduan buat kita.
“Di dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan keutamaan untuk kita berbuat baik dimulai dengan ibu bapa, keluarga, anak yatim, orang miskin, jiran dekat, jiran jauh, kawan, orang yang bermusafir atau mereka yang belajar (menuntut ilmu) berjalan menuju Allah dan hamba (pembantu rumah).
“Ada orang dengan kawan-kawan, dia sangat baik dan suka membantu, tetapi dengan ahli keluarga sendiri dia menjadi kedekut dan sangat berkira. Jangan begitu. Ingat kembali firman Allah SWT tersebut.
“Sebaliknya utamakan yang utama seperti ibu bapa, isteri, anak-anak dan ahli keluarga. Jika ada lebih, barulah digalakkan untuk berbelanja pada orang lain atau kawan-kawan pula.
“Apabila sudah memenuhi hak keluarga, itu juga sebenarnya menjadi sebesar-besar rahmat buat kita kerana telah mengikut ajaran Islam. Selebihnya serahkan urusan pahala dan ganjaran kepada Allah Yang Maha Bijaksana.
“Apa yang penting, jangan mengungkit setiap pemberian agar kita tidak menjadi manusia yang paling rugi. Ini kerana apabila diungkit sesuatu kebaikan yang dilakukan, maka leburlah pahalanya,” tegas Rohamiah yang juga penulis buku siri motivasi Berdamai Dengan Takdir terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Masya-Allah, tabarakallah. Sungguh, dalam apa jua yang kita lakukan, niatkanlah semuanya kerana Allah.
Apabila membantu, bantulah apa yang termampu walaupun nilainya mungkin sedikit, namun jika kita ikhlas, pahalanya sangat besar di sisi Tuhan Yang Maha Esa.
Yakinilah bahawa dengan bersedekah terutama buat ahli keluarga terdekat, ia menjadi kunci pembukaan rezeki. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Harta tidak akan berkurang kerana sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf, Allah akan menambahkan kemuliaannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, bersedekah dan berbuat baik kepada ahli keluarga bukan sekadar amalan mulia tetapi juga satu pelaburan ukhrawi yang besar pahalanya. Ia dapat membersihkan harta, memperbaiki hubungan dan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan.