Berita Semasa

Penggunaan petrol Euro 5 tahun depan tidak akan naikkan harga bahan api tersebut

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan penggunaan petrol Euro 5 pada tahun hadapan tidak akan meningkatkan harga bahan api itu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, harga pasaran bahan api itu akan bergantung kepada sistem yang akan dilaksanakan kerajaan, selari dengan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.

“Langkah ini (pelaksanaan Euro 5) lebih kepada untuk pastikan kawalan pelepasan karbon serta kualiti minyak yang lebih baik … jadi dari segi harga petrol di pasaran tidak ada kaitan,” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Beverly Group, Samjung Tech dan Parktech Solutions, di sini hari ini.

Semalam, Nik Nazmi dipetik sebagai berkata, Malaysia akan mula melaksanakan penggunaan petrol Euro 5 pada September 2025 dan dijangka mencapai spesifikasi penuh pada 2027 sebagai langkah penyelesaian jangka panjang dalam menjaga kualiti udara negara.

Ketika mengumumkan pelaksanaan itu, Nik Nazmi turut berkata langkah ini selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Bahan Api Petrol dan Diesel) 2007.

Show More

Related Articles

Back to top button