Berita Semasa

Dua premis makanan diarah tutup susulan penemuan najis tikus, lantai dapur kotor

GEORGE TOWN – Dua premis makanan di sekitar Daerah Barat Daya di sini diarahkan ditutup serta-merta susulan penemuan najis tikus selain lantai dapur yang kotor.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan memberitahu, kedua-dua premis itu diberikan notis penutupan selama 14 hari.

Ini susulan operasi pemeriksaan kebersihan dan pemantauan lesen ke atas premis perniagaan runcit dan makanan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pelesenan majlis, hari ini.

“Dalam operasi melibatkan 12 pegawai dari Jabatan Pelesenan, tujuh premis telah diperiksa dan dua daripadanya diarahkan tutup selama 14 hari berkuat kuasa serta-merta ekoran penemuan urungan tikus (najis tikus), markah rendah dan aspek lantai dapur tidak bersih,” kata kenyataan itu.

MBPP turut memaklumkan, tiga Notis Tawaran Kompaun (NTK) turut dikeluarkan berikutan dua daripadanya gagal mengemukakan bukti suntikan anti-tifoid pekerja manakala satu lagi notis bagi kesalahan meletakkan makanan mentah kurang 20 sentimeter dari paras lantai.

Mengikut MBPP, semua pengusaha dan pekerja yang menguruskan premis perniagaan runcit dan makanan berkenaan turut diberi penerangan mengenai piawaian kebersihan dan garis panduan ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu bagi memastikan keterjaminan kebersihan berada di tahap yang baik.

Show More

Related Articles

Back to top button