Tun Daim Zainuddin selamat dikebumikan di Bukit Kiara
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia pada usia 86 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1, di sini, pada pukul 6.07 petang tadi.
Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan pada jam 5.16 petang menaiki van jenazah.
Pengebumian berlangsung dalam suasana hiba dengan kehadiran kira-kira 200 ahli keluarga serta rakan-rakan terdekat.
Terdahulu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Assunta, Petaling Jaya, pada pukul 8.21 pagi setelah dua minggu menerima rawatan. Jenazah kemudian dibawa pulang ke kediamannya di Persiaran Bukit Tunku pada pukul 11.30 pagi.
Solat jenazah telah diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, selepas solat Asar, yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Wilayah, Jamal Abdul Halim.
Antara pemimpin yang hadir di kediaman Allahyarham untuk memberikan penghormatan terakhir ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Turut hadir ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Allahyarham Daim, dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali. Kali pertama adalah dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran Dr Mahathir, di mana beliau memainkan peranan besar dalam mengurus ekonomi negara dan melaksanakan pelarasan struktur.
Daim kembali memegang jawatan itu dari 1999 hingga 2001 juga di bawah pentadbiran Dr Mahathir bagi menangani krisis kewangan Asia ketika itu.
Selain itu, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 hingga 2004, menjadikannya salah seorang tokoh politik dan ekonomi yang disegani dalam sejarah negara.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.