Rogol bergilir-gilir pelajar sekolah 14 tahun, polis tahan empat individu
BAYAN LEPAS – Empat lelaki berusia antara 20 hingga 25 tahun ditahan polis berhubung kes rogol bergilir-gilir seorang perempuan berusia 14 tahun di Sungai Ara, Bayan Lepas, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, penahanan suspek dilakukan selepas aduan mengenai kejadian itu dibuat oleh mangsa.
Menurut Sazalee, kejadian berlaku apabila mangsa mengikut salah seorang daripada suspek yang merupakan kenalannya sejak April lalu pulang ke rumah sewa yang dihuni bersama beberapa suspek lain pada pukul 2 pagi.
“Suspek telah melakukan hubungan seks dengan mangsa sebelum dua lagi suspek yang tidak dikenalinya melakukan perbuatan sama.
“Mangsa kemudian dibawa keluar menyaksikan perlumbaan motosikal di Bayan baru pada pukul 3 pagi sebelum mangsa dibawa pulang sekali lagi ke rumah sewa dan dirogol bergilir-gilir oleh semua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sazalee berkata, mangsa kemudian dihantar pulang ke rumahnya pada pukul 5 pagi.
Katanya, susulan itu, polis menahan keempat-empat individu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Kesiksaan iaitu merogol secara berkumpulan
“Polis sudah mendapat perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Balik Pulau dan semua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.