Lelaki disyaki belasah, kurung ibu saudara sebelum mangsa ditemukan maut
IPOH – Lelaki yang ditahan polis susulan penemuan mayat ibu saudaranya di Taman Puteri Lindungan Bintang, di sini, semalam, difahamkan menyerang mangsa sebelum dikurung dalam sebuah bilik.
Menurut Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata suspek berusia 21 tahun dipercayai menumbuk mangsa berkali-kali, dipercayai akibat hilang sabar kerana seing dikongkong.
Katanya, mangsa berumur 54 tahun yang pengsan setelah jatuh dari tangga, kemudian dikurung suspek dalam sebuah bilik.
“Suspek dipercayai melepas geram dengan menumbuk mangsa berkali-kali hingga jatuh tangga. Disebabkan itu, mungkin mangsa pengsan dan dikurung di bilik selama empat hari,” katanya dalam satu sidang akhbar, disini hari ini.
Namun, kejadian itu terbongkar empat hari kemudian apabila adik mangsa yang datang ke rumah terbabit yang dihuni kakanya bersama suspek, terhidu bau busuk.
“Adik mangsa mencari kakaknya namun suspek mengatakan wanita itu berkurung dalam bilik saja. Selepas terhidu bau busuk, barulah adik mangsa membuat laporan polis,” katanya lagi.
Zulkafli menambah, proses permohonan reman serta bedah siasat ke atas jasad dijalankan pada hari ini.
Semalam, media melaporkan penemuan jasad seorang wanita yang sudah dalam keadaan membusuk, ditemukan dalam bilik sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang, dipercayai dibunuh.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.