Berita Semasa

Kumpulan kedua MALBATT 850-12 selamat berlepas ke Lubnan

SUBANG – Kumpulan kedua Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 selamat berlepas ke Lubnan, semalam, bagi meneruskan tugasan di bawah panji United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL).

Majlis penghantaran yang berlangsung di Pangkalan Udara Subang, di sini, disempurnakan oleh Asisten Ketua Staf J3, Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Tong Veng Leong TUDM.

Dalam ucapannya, Veng Leong berharap supaya anggota kontinjen sentiasa berwaspada dan bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan

“Harapan saya (juga) kontinjen MALBATT sentiasa peka dan menghormati budaya masyarakat serta mematuhi segala peraturan dan undang – undang tempatan yang telah ditetapkan,” kata Veng Leong dalam ucapannya.

Kumpulan kedua MALBATT 850-12 ini diketuai oleh Mejar Mohd Hafiz Mohd Shah dengan kekuatan seramai 218 anggota yang terdiri daripada 18 pegawai dan 200 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

Kesemua mereka akan ditempatkan di dua buah kem, iaitu Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin, untuk melaksanakan tugas operasi di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan oleh UNIFIL.

Majlis penghantaran ini turut dihadiri oleh wakil perkhidmatan dan ahli keluarga bagi memberikan sokongan serta kata-kata semangat kepada para anggota yang akan melaksanakan misi pengaman tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button