Penghantar tumbuhan disyaki seludup anak pokok bernilai RM134,500
KOTA BHARU – Seorang penghantar tumbuhan ditahan polis kerana disyaki menyeludup 1,296 anak pokok pelbagai spesies dari Thailand yang dianggarkan bernilai RM134,500, dalam Operasi Taring Wawasan, semalam.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, anak pokok tersebut ditemukan dalam sebuah lori dipandu suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan di Kampung Parit Air, Rantau Panjang.
Menurut beliau, suspek warga tempatan berusia 30 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati kesemua anak pokok yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Hasil pemeriksaan pada lori tersebut, PGA menemui 700 anak pokok bidara, 298 pokok longan, 200 pokok jambu muda dan 98 pokok jenis Buchida Batik yang dipercayai dibawa tanpa dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes itu disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5, dan semua barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi yang sama, PGA turut menahan seorang lelaki warga Myanmar di Kampung Mentua, Tumpat, pada Jumaat lepas.
Nik Ros Azhan berkata, warga Mynmar itu ditahan pada pukul 6.50 petang, gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Suspek dipercayai masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan bawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.