Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Vivy Yusof, suami hadir beri keterangan hari ke empat

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini meneruskan siasatan ke atas usahawan Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.

Vivy dan suami tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini pada pukul 9.13 pagi ini yang merupakan hari keempat keterangan diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pasangan berkenaan tiba menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam.

Datin Vivy dan Datuk Fadzaruddin antara sembilan individu yang dirakam percakapan susulan serbuan SPRM di empat lokasi iaitu pejabat FashionValet, selain Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah dan PNB, sebelum ini.

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya mengesan beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan kes itu sejak 2018 sehingga 2023.

Azam berkata, setakat ini pihaknya sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.

Katanya, bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen berkenaan.

SPRM juga dalam peringkat mengesan barangan milik pasangan pengasas FashionValet yang pernah ditunjukkan dalam media sosial sebelum ini, lapor BH Online.

Kelmarin, SPRM menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.

SPRM juga membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik mereka.

Show More

Related Articles

Back to top button