Pegawai kadet UPNM tak mengaku tekap seterika pada tubuh pelatih junior
KUALA LUMPUR – Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa menekap sterika pada badan seorang pelatih junior mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Pertuduhan terhadap Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, dibacakan di hadapan Hakim Egusra Ali.
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas pada jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu di ALK UPNM di Kem Sungai Besi di sini.
Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman terbabit.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berikutan jenis dan keseriusan kesalahan yang didakwa.
“Mangsa mengalami kecederaan lecur tahap kedua (second degree burns) di bahagian kanan dada.
“Selain itu, perbicaraan kes ini bakal membabitkan saksi rakan seasrama, jurulatih dan kes berkepentingan awam akan menjadi panduan kepada pelajar lain iaitu kesalahan membuli, bukan sahaja hukuman tetapi ikat jamin juga tinggi supaya peruntukan undang-undang ini tidak dipandang rendah sebagai peruntukan kesalahan ‘non bailable offence’,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Mohd Sabri turut memohon arahan tambahan supaya tertuduh tidak mendekati saksi-saksi kes.
Amirul Iskandar yang tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah dengan alasan ibu bapanya adalah pesara kerajaan dan dia sendiri masih belajar.
“Saya berjanji untuk hadir di setiap prosiding perbicaraan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jumlah jaminan ke atas tertuduh sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 27 Disember untuk sebutan semula kes.
Ibu dan bapa tertuduh hadir untuk membayar jaminan.
Terdahulu, tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah jam 9.47 pagi tadi dengan berkemeja putih dan bergari serta diiringi anggota polis.
Pada 22 Oktober lalu, mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.
Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menjerit kesakitan.
Mangsa kemudian membuat laporan polis pada 1 November dan keterangan daripadanya juga sudah direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.