Berita Semasa

Isteri Komander MALBATT 850-12 reda suami ke Lubnan buat kali kedua

SUBANG JAYA – Amat sukar apabila seorang isteri terpaksa berjauhan dengan suami, lebih-lebih lagi mengetahui yang mereka akan bertugas di kawasan konflik perang.

Isteri kepada Komander MALBATT 850-12, Haslinda Rahim tidak dapat menahan rasa sedih selepas mengetahui suaminya, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh akan ke Lubnan bagi membawa misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL).

Ibu kepada dua orang anak itu pada mulanya bimbang memandangkan ini merupakan kali kedua suaminya bertugas sebagai tentera pengaman di Lubnan yang ketika ini sedang bergolak dengan perang Israel-Hezbollah.

Walau bagaimanapun, Haslinda, 48, reda atas amanah yang diberikan kepada suaminya, selain mendoakan beliau akan selamat pergi dan pulang ke tanah air.

“Reaksi saya mula-mula dengar memang berbelah bahagi, namun saya tahu, saya berkongsi suami dengan negara, jadi saya reda dan rela untuk menjalankan bertugas.

“Saya doakan keselamatan mereka, agar selamat pergi dan balik, pergi dengan jumlah 854 orang dan balik juga dengan jumlah yang sama,” katanya sambil menitikan air mata.

Terdahulu, seramai 220 anggota kumpulan pertama Malaysian MALBATT 850-12 telah ke Lubnan bagi membawa misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL), hari ini.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan Majlis Penyerahan Bendera Malaysia daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada Johan Effendi.

Johan Effendi meluangkan masa bersama ahli keluarganya sebelum berlepas ke Lubnan dari 16 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Sementara itu, Johan ketika ditemui berkata, beliau komited untuk menjalankan tugas yang diberikan sebagai pasukan pengaman di Selatan Lubnan.

Menurut Johan, MALBATT 850-12 yang menjalankan misi bawah panji-panji serta mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Kami anggota tentera telah dilatih tugas kami adalah untuk berperang dan melaksanakan penugasan PBB jadi tiada masalah untuk diatur gerakkan di mana-mana.

“Setiap kali kami berada dalam barisan, saya kerap kali tekankan supaya betulkan niat, perkuatkan mental dan fizikal. Jadi, kami bersedia tidak ada masalah dari segi fizikal, mental dan moral,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button