107 syarikat terlibat aktiviti kartel didenda RM571.5 juta sejak 2015 – Armizan
KUALA LUMPUR – Sebanyak 107 syarikat sudah dikenakan penalti kewangan RM571.5 juta kerana terlibat dalam aktiviti kartel sejak 2015.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Ali berkata, penalti yang dikenakan menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) itu turut dikenakan terhadap dua lagi syarikat monopoli yang menyalahgunakan kedudukan mereka.
“Pada 2015, MyCC berjaya menumpaskan kartel pengeluaran ais yang terdiri daripada 24 pemain di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya yang didapati menetapkan harga produk ais dan mengenakan RM252,250 penalti.
“Pada tahun sama, MyCC juga menumpaskan kartel pengeluar roti dan manisan di Sibu yang terdiri daripada 14 syarikat kerana menetapkan harga produk itu dan jumlah penalti dikenakan ialah RM247,730,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai usaha diambil KPDN bagi menghapuskan kartel dalam sektor bahan makanan bagi menggalakkan persaingan dan membasmi kegiatan kaut keuntungan melampau (profiteering).
Katanya, selain itu, MyCC juga menumpaskan kartel yang terdiri dari lima syarikat yang menjalankan perkhidmatan feri di antara Kuala Perlis dan Langkawi pada 2021.
“Perkhidmatan ini membolehkan pengangkutan produk termasuk bahan makanan dihantar ke Langkawi. Mereka dikenakan penalti kewangan sebanyak RM2.19 juta.
“(Manakala) Pada Disember 2023, MyCC mengenakan penalti kewangan RM415.5 juta terhadap lima pengeluar makanan ayam kerana terbabit dalam kartel penetapan kuantum kenaikan harga makanan ayam,” katanya.
Tambahnya, dalam memperkasakan lagi usaha memerangi kartel sektor bahan makanan, MyCC turut menjalankan kajian am bertujuan mengkaji struktur pasaran dan amalan perniagaan industri padi dan beras negara secara menyeluruh bagi mengenal pasti sebarang potensi isu persaingan.
“Kajian am ini juga sebahagian pendekatan ‘whole of nation’ KPDN bagi membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membentuk polisi baharu bagi industri padi dan beras negara dan dapatan kajian ini telah pun dikemukakan kepada KPKM.
“Atas arahan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), MyCC juga sedang menjalankan kajian terhadap Approved Permit (AP) dan Import Permit (IP), dalam pengimportan barang makanan iaitu bawang, daging dan kelapa.
“Pada masa ini, MyCC sedang giat menjalankan sesi libat urus bersama agensi kerajaan dan pemain industri yang berkaitan dan dapatan kajian ini dijangka dibentangkan kepada MTEN sebelum akhir tahun ini,” katanya lagi.