Program HIP Mentor kembali diadakan tahun hadapan
Bantu tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid miskin bandar, pinggir bandar dan luar bandar
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan kembali Program Highly Immersive Programme Mentor (HIP Mentor) setelah dihentikan akibat COVID-19.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program terbabit bermatlamat membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid di kawasan miskin bandar, pinggir bandar dan luar bandar di seluruh negara.
“KPM telah melaksanakan projek rintis HIP Mentor di 21 sekolah di lima negeri bermula 2018 hingga 2019.
“Seramai 20 mentor terdiri daripada pesara guru dan pensyarah bahasa Inggeris terbabit dalam projek ini secara sukarela.
“Bagaimanapun ia ditangguhkan sementara disebabkan pandemik COVID-19 bermula pada 2020,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Inisiatif itu menyasarkan sekolah rendah dan menengah yang masih berada pada tahap satu dan dua skala HIP.
“Untuk makluman, program HIP Mentor membabitkan pesara guru dan pensyarah bahasa Inggeris sebagai sukarelawan atau digelar HIP Mentor.
“Syarat dan kelayakan menjadi HIP Mentor antaranya adalah dalam kalangan pesara guru atau pensyarah bahasa Inggeris; lulusan ijazah bidang pengajian bahasa Inggeris; memiliki kemahiran dalam bidang teknologi maklumat; berumur 55 hingga 65 tahun dan sihat fizikal serta mental.
“Pesara guru dan pensyarah yang ingin terbabit dalam program ini boleh memohon melalui saluran pengiklanan melalui media cetak, elektronik dan saluran media sosial KPM atau mohon secara terus melalui e-mel atau surat kepada English Language Teaching Centre (ELTC), KPM,” katanya lagi.